Kasih seorang Insan Dementia
Lukisan keluarga bersama atuk dari tulus hati kakak mawaddah
Inilah rumah yang menyaksikan keringat atuk membesarkan anak anaknya berpuluh tahun seorang diri. Hanya mengharapkan belas ihsan dari Allah dalam melayari kehidupan.
Ayah sebagai menantu yang sentiasa menjadi supporter pada umi dalam menyantuni atuk sepanjang berada di Tanah Parit Nibong.
Bukan senang menyantuni pesakit dementia, tersilap langkah rebah juga, namun Allah sentiasa kurnia sinar saban hari pada umi kerana dikelilingi oleh keluarga yang menjadi tulang belakang dan tempat bersandar tatkala dilanda badai Alhamdulillah atas kurniaan Allah. Biarpun di luar kita hanya orang biasa, namun hakikat sebenarnya kita bahagia. Bahagia itu tidak semestinya menjadi tontonan ramai, bahagia itu tidak semestinya diviralkan. Cukup sekadar kita yang tahu kerana nikmat yang Allah beri untuk kita merasakan tawadhuk merendah diri kepada Allah.
Ujian Allah itu sebenarnya buah manis apabila kita redha. Apabila redha, Allah kurnia jalan jalan kemudahan.
Potret atuk, cucu dan bibik yang selalu sabar dalam membantu dan mengendali atuk. Antara banyak bibik yang ada, inilah bibik yang paling amanah, bertanggungjawab, bersih dan segala galanya pada kami Subhanallah. Malahan ukhuwah yang terjalin hampir 8 tahun sudah seperti saudara sendiri. Semoga Allah mengurniakan bibik dengan kehidupan yang penuh barakah.❤️
Aktiviti waktu pagi dan petang, bawa atuk jalan jalan pusing kampung belakang sambil melihat tanah sawah yang menggamit memori atuk dahulu kala tentang usia mudanya yang pernah mengerjakan sawah bendang.
Cerita atuk tidak pernah lekang menyebut perihal anak anaknya, kerana hidupnya kerana Allah dan kerana anak anaknya.❤️
Kadangkala, kebenaran itu susah untuk dikongsi apatah lagi datang dari hamba yang hina, hamba yang rendah kedudukan dan tingkatan. Fitrah manusia, kebenaran dan perkongsian ilmu itu harus datangnya dari para ahli yang pakar dan berketrampilan, yang ramai follower, yang mempunyai pengaruh, barulah kebenaran itu diambil dan dicedok pakai tetapi manusia lupa sejarah kebenaran islam itu datangnya dari hamba yang paling mulia di sisi Allah, Nabi dan Rasul kita yang ummi, tetapi dipandang rendah oleh masyarakat Quraish. Asalnya tidak tahu membaca tetapi dengan izin Allah diajar malaikat Jibril perihal ayat ayat mulia Allah, lagi benar dan siddiq. Ilmu dan kebenaran itu, bukan hak milik golongan kaya, bukan juga milik mereka yang berusia dan punya tingkatan darjat dalam masyarakat, namun ilmu dan kebenaran itu hak milik semua dan perlu dikongsi bersama. Namun terserah Allah dalam mengizinkan hambaNya untuk mengetahui, memahami dan mencedok pakai dalam memudahkan urusan. Kita dah beri dan kita sudah kerapkali berusaha menyatakan, tetapi masih ada yang ragu ragu untuk mencedok pakai. Akhirnya kita hanya mampu berlepas diri setelah berusaha semampunya. Betullah kata cerdik pandai, ilmu itu aulanya kita guna pertama untuk diri kita, selebihnya hanya Allah yang mampu dan Maha membolak balik jiwa hambaNya.
Kadangkala sukar mengawal emosi apabila berhadapan ujian dementia ini, namun Allah kurnia kelompok manusia yang mampu mereda dan meleraikan segala kesulitan, baiknya Allah kepada kita, kerana Dia tahu kita lemah dan diberi pertolongan dengan kekuatan yang Dia punya, mutlak dan Subhanallah menjadikan kita lebih dan selalu bergantung harap padaNya. Pergantungan pada Allah itu lebih baik dari bergantung harap pada manusia yang memang lemah sifatnya. Manusia lemah apabila menyandarkan harapan pada manusia yang juga lemah, natijahnya memang mengundang bermacam salah tafsir, salah interpretasi dan salah faham yang boleh mencetuskan konflik, maka bergantunglah pada Allah pemilik manusia kerana engkau akan dapati aturanNya yang terbaik.
Sukar menghadapi sesuatu ujian, tapi lebih sukar menghadapi mereka yang salah menginterpretasi niat hati kita.
Pesanan umi pada anak anak, bermohonlah selalu kepada Allah agar Dia Allah yang penuh sifat Ihsan menjadikan kita hamba yang berusaha menjaga silaturrahim walau kadang pedih dan penuh liku kerana Allah memandang kepada perit jerih kita, yang paling penting niatlah untuk beroleh redhaNya Allah dan balasan baik di kampung akhirat. Ubat penawar tatkala dilanda ujian hanyalah,
"Mari kita sibukkan diri dengan memperbaiki diri sendiri, usah kita tegar mencari kelemahan orang lain dan jauhkan diri dari perkara yang bukan urusan kita, kerana pada saat kita berusaha perbaiki diri kita mengikut syariat yang Allah gariskan, maka Allah akan memberi banyak kebaikan dan ketenangan. Tinggalkan dan jauhkan unsur unsur negatif yang boleh mencetuskan banyak penyakit hati, kerana penyakit hati mampu menjadi racun kepada ketenangan jiwa".
Mohonlah ampun kepada Tuhanmu dengan perbanyakkan
❤️Istighfar ❤️
Kerana engkau akan dapati Tuhanmu sentiasa ada di sisimu dan engkau tidak perlu bersandar kepada selain Dia.
Satu kepuasan yang Allah telah izinkan
Atuk yang masih kuat dan sihat suatu ketika dulu
Senyum atuk saja telah membuat umi bahagia
Lakaran wajah atuk yang seakan keliru
Semuanya tentang atuk, akan membuatkan umi excited dan menzahirkannya. Atuk beruntung punya anak, menantu, cucu yang memberi sepenuh sokongan padanya dalam melayari hari tuanya.
Umi memegang tangan insan yang penuh mulia
Rindu tidak bertepian...
Alhamdulillah, Allah beri kesempatan bawa tok minum kopi di kedai
Memori merai keluarga abang semasa umrah tempoh hari
Merah menyala jubah atok cakap, warna orang muda, takpa la asal atuk bahagia.
Tahun pertama pulang kita sama sama cuba kembalikan ingatan atuk seperti yang disarankan tuan doktor, siapa lah kita untuk menyalahkan dia dan menidakkan takdir.
Simpati dan empati jauh bezanya, simpati hanya di hati dan di bibir, tetapi empati adalah cuba berusaha meletakkan jasad dan jiwa kita di dalam diri insan diuji .
Alhamdulillah, Allah beri lagi dan lagi waktu bahagia untuk membina memori indah bersama atuk sewaktu menaiki keretapi ke Bukit Bendera. Perasaan takutnya reda dengan sentuhan erat dari orang sekelilingnya.
Usaha ke arah redha Allah, selebihnya tawakal saja.
Insan dementia ini juga punya kehendak dalam hidup ini walau diri kabur dan keliru dalam meluahkan dan menyuarakan isi hati, kerana suara dan kehendaknya tenggelam di dalam ketidakupayaannya. Insan dementia ingin turut serta dalam dunia kita, kerana kehidupan jiwanya terasing dalam dunianya. Apalah salahnya secangkir kasih yang diminta buat penawar sunyi dan sepinya. Tidak luak sedikit pun pada kita untuk memenuhi permintaan jiwa luar dan dalamnya. Maka menjadi tanggungjawab kita insan yang diharapkan untuk mengembalikan mereka ke dalam dunia kita dan dunia mereka agar insan dementia merasakan kita sentiasa ada di sisi mereka. Pada kita yang miliki tubuh dan mental yang sihat, selalu sahaja salah mengerti tentang mereka. Jasad luar insan dementia terlihat sihat sejahtera tetapi tidak bermakna mereka mampu berfikir cara kita, lupa mereka pada kita tidaklah rugi apa apa kerana insan ini sudah melangsaikan amanahnya waktu dirinya berupaya, tetapi lupa kita pada insan ini tatkala dirinya dirundung derita dunia, maka Allah akan hisab sehisabnya.
Semoga suatu hari anak anak umi akan faham apa yang umi cuba maksudkan kelak. Dan semoga anak anak semua menjadi penawar umi ayah tatkala kami melayari hari tua dan usia emas kelak.
Insan yang paling banyak disebut sepanjang detik berbaki umur atok, kerana insan ini telah meninggalkan memori indah dalam hidup atok. lantas apakah umi harus berdiam tatkala rindu atok berbara pada insan yang banyak menjadi tulang belakangnya dalam pahit getir hidup membesarkan anak anaknya. Umi akan terus berdoa dan berusaha untuk menzahirkan kerinduannya terhadap susuk tubuh ini walau diizinkan Allah hanya dari kejauhan, kerana bahagianya umi adalah pada senyuman terukir diwajah insan yang bernama ibu.
Comments
Post a Comment