Salam perkenalan dari Madain Salleh




Pemandangan dari pintu masuk ke penempatan kaum Thamud

                                                              
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, semoga kita semua sentiasa di dalam naungan kasih sayang Allah.

Ini adalah posting yang pertama setelah hampir 8 tahun berkelana di bumi Anbiya. maka posting ini menjadi pilihan kerana ada pelbagai sudut ibrah yang boleh diambil manfaat dalam menjadikan inti teras hidup kita lebih bermakna, In Shaa Allah.posting ini mengisahkan tentang lawatan kami sekeluarga ke Madain Saleh, Al Ula, Saudi Arabia.

Kunjungan ke lokasi lokasi yang pernah Allah turunkan bala dan balasan atas kezaliman manusia sendiri, tidaklah sama dengan berkunjung ke tempat tempat lain diatas muka bumi Allah ini. Kita tidak seharusnya menzahirkan rasa gembira, seronok pada setiap langkah, perasaan dan emosi sepanjang berada di sini. Malah mulut seharusnya berzikir mengingat kekuasaan Allah yang mampu mengazab dan menghukum setiap makhluk di muka bumi yang ingkar akan perintahNya.

Madain Saleh merupakan salah satu tempat yang mempunyai kisahnya yang disebut dalam al Quran. Iaitu kisah mengenai Nabi Saleh yang berdakwah kepada kaumnya, Tsamud.

"Dan berapa banyak(penduduk) negeri yang sudah bersenang-senang dalam kehidupannya yang telah kami binasakan, maka itulah tempat kediaman mereka yang tidak didiami (lagi) setelah mereka, kecuali sebahagian kecil. Dan kamilah yang mewarisinya.
 Al Qasas:58

"Dan Tuhanmu tidak akan membinasakan negeri negeri, sebelum Dia mengutus seorang Rasul di Ibu kotanya, yang membacakan ayat-ayat kami kepada mereka, dan tidak pernah (pula) kami membinasakan (penduduk) negeri, kecuali penduduknya melakukan kezaliman."
Al Qasas:59.

Kaum Tsamud merupakan satu kaum yang kuat dan diizinkan Allah mempunyai kemahiran memahat bukit bukit batu untuk dijadikan tempat tinggal.  Kaum Thamud juga pernah dianugerahkan Allah dengan kehidupan yang dikatakan aman damai dan makmur dengan tanah yang subur dengan tanaman.


Namun kepandaian dan nikmat bumi yang indah kurniaan Allah tidak menjadikan kaum Thamud hamba hamba Allah yang bersyukur malah mereka tega menentang dakwah Nabi Saleh, Nabi yang diutuskan untuk menyampai risalah Allah dengan mengomok²kan keupayaan dan kemukjizatan Nabi Saleh.
Apabila kami melihat kepada kawasan yang dahulunya dipanggl"Hijir" Subhanallah tompokan bukit bukit batu nya memang indah  sekali. Sayup pandangannya memukau mata dan jiwa, seolah tiada satu pun tempat dipelusok dunia yang sama cantik sebegini.
Kemuncak laknat Allah pada kaum Thamud ini terjadi apabila ada antara mereka yang membunuh unta yang wujudnya dari belahan batu, bukti mukjizat Allah kepada Nabi Saleh. Pakatan dan komplot dibuat sehingga mereka berjaya membunuh unta tersebut walaupun diberi peringatan berkali kali oleh Nabi Saleh. Bukan itu sahaja malah mereka mempersendakan keupayaan Allah dengan meminta minta agar dipercepatkan azab Allah kepada mereka.

Nabi Saleh memperingati kaumnya bahawa azab Allah yang akan menimpa ke atas mereka akan didahului dengan datangnya tanda-tanda, iaitu pada hari pertama apabila mereka terbangun dari tidur, wajah mereka akan bertukar kuning dan akan berubah menjadi merah pada hari kedua dan hitam pada hari ketiga dan pada hari keempat turunlah azab Allah yang pedih.

Namun peringatan demi peringatan tidak diendahkan malah mereka masih bebas angkuh dan sombong tanpa kenal erti nikmat bertaubat. Maka tibalah hari keempat, hari turunnya laknat dan bala yang dihantar Allah berupa halilintar dan gempa sehingga melenyapkan terus mereka dari muka bumi ini dan Allah bisa menggantikan mereka dengan kaum kaum yang lain. Allah tidak pernah memungkiri janjiNya.

Gambar di ata dan di sebelah menunjukkan salah satu kepakaran kaum Tsamud iaitu keupayaan mereka mengukir atau membuat binaan rumah mereka di dalam gunung batu dengan menggunakan hanya peralatan tangan kuno.  Kepakaran dan kepandaian mereka tidak diberi kepada kaum lain pada masa itu.  Namun Nikmat dan anugerah Allah kepada mereka tidak menjadikan mereka dekat dengan Allah malah semakin jauh dan menyimpang menduakan Allah dengan berhala hala yang dipahat sendiri.

Pengajaran yang boleh dipetik dari musafir kami ini,berupa ibrah yang Allah hidangkan untuk kita ambil peduli bahawa setiap perintah Allah yang dibawa Nabi dan Rasulnya wajib kita ikuti dan apa yang dilarang Allah wajib kita jauhi.  Semoga kita menjadi hamba  hamba Allah yang beruntung, Ameen.
Gambar di atas menunjukkan suasana di dalam rumah batu yang dipahat kaum Thamud


Gambar di atas menunjukkan stesen keretapi yang dibina di Madain Saleh oleh kerajaan Ottoman pada tahun 19 Hijrah yang menghubungkan Hejaz, Damascus ke Kota suci Makkah.



Comments

Popular posts from this blog

Kisah Raya di Arab Saudi