Pulang ke Tanah Bonda zaman pandemik yang mencabar

Mengimbas kembali cuti summer tahun 2020, yang berbaur duka dan kerinduan pada bonda dan tanah ibunda dek kerana virus covid yang sedang bermula kolonialnya di seluruh dunia.  Semua yang dirancang punah tiba tiba, yang dekat pun bergenang air mata, yang jauh pula termenung terduduk tak terkata.  Siapa pun kita apabila lama tidak berdamping dengan ibu bapa tua akan terkesan, inilah yang dinamakan ujian kasih sayang di dunia.


Besar sungguh impian Si Ilyas nak balik jumpa atok di kampung, siap bina International Airport Globe star(diberi nama) dalam rumah.
Hari hari si bongsu Ilyas ini akan bermain dengan set mainan kapal terbangnya. Seolah jiwanya terbang pulang ke Malaysia. Saban hari dia akan bertanya ayahnya tentang Malaysia seolah tidak mengerti tentang keputusan ayah dan umi untuk tidak pulang lagi untuk tahun 2021.  Abang dan kakaknya Alhamdulillah semua sudah besar untuk bijak menerima apa sahaja keputusan ayah si pencari nafkah keluarga.

Redha saja apa ketetapan yang Allah putuskan.  Semuanya berhikmah.

Masih ada sisa usaha yang berbaki untuk ayah usahakan, kerana ayah dan ayah ayah yang lain adalah pengusaha hidup yang tegar dalam mencari jalan keluar terbaik untuk keluarga.  Perancangan asal kami sebelum hari raya 2021 adalah pulang memandangkan tahun 2020 masing masing berduka. Nampak ada peluang untuk pulang pada tahun ini kerana tempoh kuarantin hanya 7 hari.  Dengan cuti yang diberi selama hampir dua setengah bulan berbaloi rasanya dengan kuarantin hanya 7 hari.

Nampak anak anak ceria sambil mengimbau kembali memori makan di restoran Malaysia, bersulam ketawa dan senyuman.

Tiba tiba ada pula syarat yang bertukar dari kerajaan Malaysia yang membebankan dan memberatkan akibat kes jangkitan covid-19 yang semakin meningkat. Hari demi hari kes semakin naik memuncak.  Dalam hati umi, pasrah apa pun yang datang cuma kasihan anak anak kalau tak jadi pulang Malaysia.  Seperti biasa ayah bertungkus lumus memikirkan kalau ada ruang dan peluang lagi memandangkan kos kuarantin juga semakin meningkat.

Pada suatu malam, selesai sahaja solat maghrib berjemaah kami berdua memaklumkan pada anak anak, perancangan untuk pulang ke Malaysia pada tahun ini terpaksa ditangguhkan lagi seperti tahun sebelumnya. Alhamdulillah anak anak tidak mengeluh malah boleh terima apa yang kami putuskan, cuma si bongsu mula bermuram durja, ayah terus memeluknya lantas bertanya "kenapa ilyas sedih", lantas sibongsu menjawab "Ilyas rindu atok, dah lama tak jumpa atok". Tiba tiba air mata umi bertakung dan mengalir, anak anak terus memeluk umi.  Sebenarnya umi lah yang paling terasa kesannya cuma umi berlakon kuat di hadapan anak anak.  Malam itu kerinduan umi pada atok tidak dapat dibendung lagi.  Kemudian datang si ilyas pula membawa sehelai tisu sambil memeluk dan mengusap air mata Umi.

Maka tiada menaruh harapan lagi, saudara mara di sana sudah dimaklumkan dengan keputusan ini.  Pada Bonda tercinta, maklum atau tidak seolah tiada beza padanya kerana penyakit Dementianya semakin memamah usianya. Lupanya semakin berleluasa. Lupanya juga semakin menelan ingatannya.  

Kadangkala tampak si ayah merenung jauh seakan memikir sesuatu.  Pulang dari kerja, selepas memeluk seisi rumah dicapainya "remote tv". Channel kegemarannya nasi kandar penang.  Selesai menonton selalu diajaknya keluar ke tepi pantai. "Jom, kita cari pasembor tepi pantai". Ayah berseloroh. Semua tersenyum sahaja dan ketawa. Alhamdulillah jumpa juga tetapi bukan pasembor, nasi kandar pun bukan, cuma roti paratha roti canai asli di restoran India  Malabar.
Umi dan anak anak tidak menaruh harapan lagi, hari demi hari meniti kehidupan seperti biasa di bumi Yanbu, hendak beraktiviti di luar pun jauh sekali kerana panasnya sangat bahang membakar pipi.

Nak bercucuk tanam pun, tanah sudah mulai kering, serai yang di tanam pun sudah layu.
Seperti biasa setiap tahun bulan mei dan jun umi akan membuat inventori barangan dari Malaysia, walau tidak pulang bercuti, inventori dan semakan barang tetap perlu dibuat, ini masanya umi mengerah anak anak untuk mengemas rumah seakan mahu berpindah. Segala pakaian yang tidak muat kami kumpul dan sedekahkan kepada Muhammad seorang insan berbangsa Arab dari Yaman untuk dibawa pulang ke negaranya tanah yang dilanda krisis peperangan. Mereka lebih memerlukan dan secara tidak langsung juga rumah tidak dipenuhi dengan lambakan barang yang tidak digunakan lagi.

  Sepanjang proses mengemas, hati umi kadang teringat pada atok di Malaysia. Apabila teringat, terus saja mengangkat doa agar Allah beri jalan keluar atas kerinduan ini. Umi tidak berdoa untuk pulang kerana hajat itu mungkin memberatkan si ayah, namun umi berdoa agar Allah beri yang terbaik untuk atok, umi dan keluarga umi.

Siayah pula sibuk membuat urusan pembatalan tiket selepas membuat keputusan tidak pulang ke Malaysia tahun 2021. Namun daripada apa yang ayah ceritakan, seolah susah untuk berurusan dengan pihak berwajib dalam perkara ini. Terpaksa menunggu berjam jam untuk mereka memberi maklum balas. Si ayah tidak suka masanya terbuang begitu sahaja.
Hanya masih berbaki 3 hari sahaja untuk membatalkan tiket sebelum tarikh penerbangan.

Pada pagi hari isnin, tanggal 7 Jun 2021,usai solat subuh dan mendengar tafsir Quran dari Taimiyyah Zubair, seperti biasa si bongsu Ilyas merebahkan badannya di atas umi yang masih bertelekung. Tiba tiba," umi, jom kita telefon atok, ilyas nak tunjuk style rambut baru pada atok". Umi lantas melihat jam, maklumlah beza masa 5 jam dengan Malaysia.

"Ok, sekejap". Lalu umi pun menekan nombor bibik yang menjaga atok. Sudah hampir 10 tahun bibik setia bersama atok. Walau pelbagai tekanan dan cabaran yang bibik terima sepanjang menjaga insan tua yang dementia ini, namun dia tetap sabar. Bibik seolah sudah menjadi sebahagian dari keluarga kami, teringat pada tahun tahun yang lepas sewaktu bibik berhasrat untuk mengerjakan umrah, kami sekeluarga anak anak atok tidak menunggu lama untuk memenuhi hasratnya kerana sememangnya bibik layak untuk dipenuhi hajatnya.  Alhamdulillah rezeki atok Allah kurniakan hamba Allah yang sangat baik, jujur, cermat dan pembersih sepanjang membantu menjaga atok pada saat anak anak dibebani dengan lambakan tugas duniawi.

Alhamdulillah, sejak dapat membuat panggilan bervideo, atok kian dapat mengenali umi anaknya.  Tidak seperti sebelumnya, umi terpaksa memperkenalkan siapa umi kepada diri atok berulangkali. Bagi sesiapa yang punya  ahli keluarga yang menghidap dementia @ Alzheimer akan sangat terkesan kerana penyakit ini bukan penyakit fizikal yang zahir boleh dilihat tetapi ianya adalah ketidakupayaan neuron@saraf otak berfungsi dengan baik. Bukanlah nyanyuk seperti yang dianggap oleh sebahagian masyarakat Malaysia yang kurang kesedaran tentang penyakit ini, tetapi Dementia@Alzheimer adalah ketidakupayaan mengingati dalam durasi masa yang sekejap dan berulang ulang disebabkan berlaku 'minor strok' pada urat urat saraf di otak. Keadaan ini boleh berlaku pada semua orang dewads tidak kira muda ataupun tua. In Shaa Allah jika berkesempatan akan umi tulis satu posting khas bagi menjelaskan apakah penyakit Dementia@Al Zheimer.

Seperti biasa umi mulakan perbualan dengan bertanya khabar atok, bibik dan semua di sana.  Sesekali umi cuba meminta atok mengulang kiraan anak anaknya dan nama setiap anak dan cucu cucunya. Umi masih ingat pesanan doktor, cuba aktifkan ingatannya dengan banyak bertanya. Tapi sejak 2 tahun umi dan keluarga tidak dapat pulang maka tidak dapat melaksanakan aktiviti ini disebabkan pandemik.

Waktu cuti cuti yang lalu, pelbagai aktiviti kita jalankan bersama atok kerana apabila melihat atok ketawa dan tersenyum sudah memadai buat umi bahagia.  Ingat lagi cuti tahun 2019, kita bersama sama membawa atok naik Bukit Bendera, kata atok, "mak tak pernah melawat ke Bukit Bendera dulu kerana wang simpanan tidak ada, kalau ada pun mak fikir anak anak belajar dulu".  Allahuakbar, apa lagi yang nak umi katakan melainkan linangan air mata sahaja mengingatkan kata kata atok.  Dulu belum punya duit, sekarang sudah ada duit, keupayaan badan pula semakin lemah.  In Shaa Allah posting yang lain akan umi kisahkan perjalanan atok ke Bukit Bendera.

Lega si Ilyas ni dapat cakap dengan atok sambil mengusap ngusap style rambut barunya. Memang dia berniat nak tunjuk pada atok. Kata Atok, "amboi segak bergaya cucu atok ni". Seperti biasa sebelum ilyas mengakhiri perbualannya dengan Atok, ilyas akan membuatkan atok ketawa riang, mana tidaknya dia membuat aksi lubang hidungnya yang besar agar atok suka dan gelak besar.  Rasa bahagia bila umi dapat melihat atok ketawa besar.

Minggu lepas si Ilyas tunjuk set mainan kapal terbangnya pada atok, sempat pulak dia berjanji dengan Atok untuk main berdua apabila sampai di Malaysia, padahal dia tak tahu yang tahun ini pun ayah memgambil keputusan untuk tidak pulang juga.

Tiba giliran umi lagi untuk bercakap dengan atok. Tiba tiba, " bila hampa nak balik, mak nak berkawan dengan hampa pula". Luah atok.  Allahuakbar, terasa air mata umi bergenang bertakung di mata.  Apa yang harus umi jawab? Sebenarnya umi memang mengharapkan atok lupa pada janji umi tempoh hari dan umi yakin atok akan lupa dek kerana penyakit dementia atok.  Tak sampai hati untuk umi maklumkan perkara sebenarnya pada atok.  "In Shaa Allah mak, mak doa la kami semua balik". Itu sahaja bicara yang umi mampu membalas, selebihnya umi serah kepada Allah.

Ternyata atok masih ingat kenangan bersama kita sekeluarga.  Atok masih ingat pada memori naik train dan makan aiskrim di Bukit Bendera, atok masih ingat kita jalan jalan di Taman Tasik Taiping sambil makan laksa dan cendol, atok masih ingat kita makan mee udang viral, atok masih ingat kita bawa dia ke kampung tanah pusaka di kampungnya, Kampung Kedah.  MasyAllah ingatan atok masih kuat pada semua kenangan itu.

Selesai sahaja umi bercakap dengan atok, umi termenung seketika dan berdoa kepada Allah agar memberi jalan keluar yg terbaik atas ujian kasih sayang ini.

Umi akur sejak kebelakangan ini umi sering bermimpi atok, mungkin rasa rindu teramat sangat pada atok. Kadangkala umi berkongsi mimpi atok dengan ayah, termenung ayah seolah punya rasa yang sama seperti umi.

Sejurus selepas menelefon atok, umi segera ke dapur menyiapkan sarapan pagi, juga ingin menyibukkan diri agar terlupa seketika kesedihan tadi.  Lantas umi capai bawang, cili dan pisau.  Hari ini menu bihun goreng untuk seisi rumah. Tanpa sedar ingatan ini masih degil juga, terngiang ngiang akan kata kata atok. Akhirnya umi kalah lagi, air mata berderai sekali lagi.

Tiba tiba ayah datang ke dapur dan dapat melihat raut wajah umi yang sedang menangis, hati umi tak tertahan terus bercerita tentang perbualan umi dengan atok.  Seperti yang di sangka, ayah juga berkongsi rasa yang sama.
Lantas ayah dan umi ke bilik tetamu berbual panjang, bihun yang mulanya dirancang ditunda lagi.  Maka roti ber jem sahaja untuk pagi ini.

Akhirnya ayah membulatkan hati membuat keputusan baru, " jom kita balik Malaysia". Kata ayah. Umi tergamam dan terkejut besar dengan keputusan ayah.  Masih berbaki 3 hari untuk membuat persiapan pulang, anak anak belum dimaklumkan lagi.

Ayah bergegas ke luar untuk menguruskan dokumen perjalanan yang banyak maklumlah zaman pandemik, banyak syarat untuk keluar dari Saudi dan untuk masuk ke Malaysia, sekiranya tidak lengkap maka semuanya akan tertunda dan mendatangkan masalah besar.  Pada Allah sahaja dipanjatkan doa agar semuanya lancar dan sempurna.

Umi pula ligat di dalam rumah, mengemas seperti mahu berpindah.Serba serbi perlu dibersihkan. Setiap inci rumah harus dikemas kerana akan meninggalkan rumah dalam tempoh yang agak lama.  Lagipun bila pulang semula ke Saudi nanti hati rasa lebih tenang apabila melihat rumah yang kemas dan bersih.

Bayangkan 3 hari berjuang, Allah sahaja yang tahu tahap keletihan, mujur umi tidak menambah belian barang dapur, jadi yang hanya tinggal telur, sedikit bawang dan cili besar.  

Lagi 2 hari untuk pulang, umi memberi maklum pada anak anak tentang keputusan ini, dan mereka sungguh gembira.  Lantas masing masing sudah tahu apa yang perlu dibantu. Maka bermulalah gerak kerja seisi rumah.

Petang hari rabu, ayah pulang membawa keputusan PCR yang semuanya negatif dan memberi harapan yang sangat cerah untuk pulang ke Malaysia tanah tumpah darah kami.  Sepanjang tempoh persiapan itu Subhanallah, semuanya berjalan lancar dengan pertolongan Allah.  Rasa syukur yang tidak terhingga kerana Allah telah memberi jalan keluar yang sebaiknya.  Itulah sifatNya Allah, di saat kita buntu, Dia bantu dan memberi hala tuju.  Kita rancang Allah juga merancang tetapi perancangan Allah yang paling tajam.

Hampir sepuluh tahun dan saban tahun inilah kerja umi apabila pulang ke Malaysia dan kembali ke Saudi.  Kalau diikutkan letih dan penat hendak saja umi batalkan segalanya, tetapi ini rutin setiap satu tahun 2 Kali sahaja.  Umi membuat checklist untuk setiap perkara yang perlu dilakukan dan akan dibawa pulang. Ternyata kaedah ini sangat membantu umi saban tahun.

Maka tibalah hari yang ditunggu tunggu oleh seisi rumah. Tepat jam 11 pagi hari khamis tanggal 10 Jun 2021, kami memulakan perjalanan ke lapangan Terbang Madinah setelah 2 tahun tidak pulang.  Hati terasa damai melihat pemandangan sepanjang perjalanan. Sudah lama tidak bermusafir ke bumi Madinah sejak krisis pandemic.  

Sejurus sampai, kami mengisi perut dengan bekalan nasi lemak yang Umi sediakan.  Sudah lama tidak merasa saat makan bekalan sendiri di lapangan terbang.  Setiap kali pulang ke Malaysia umi akan sediakan makanan untuk mengelak kelaparan di pertengahan jalan.  Tambahan pula perut umi kurang selesa dengan makanan yang dijual di airport. 

Selesai makan kami bergilir solat di masjid airport.  Subhanallah, umi sangat kagum dengan tatacara hias masjid itu.  Landskap sekelilingnya juga kelihatan tenang membuat hati bertambah damai untuk pulang.  Pohon kurma yang berderetan, buah kurma yang bertaburan membuat hati senang.

Masuk sahaja ke bahagian wudhuk wanita Subhanallah, bersih, kemas dan rapi binaannya. Rasa syukur Allah beri jalan jalan ketenangan dan kemudahan ini.  Naik sahaja tangga ke ruang solat, MasyAllah walau gelap tapi masih boleh melihat kerana dipasang lampu cahaya samar bertulis kalimah 'Allah' dan 'Muhammad' yang sangat cantik dan mempesona mata seolah merai kami masuk dan menunaikan solat.

Begitulah santunNya Allah dalam melayan kehendak dan kemahuan kita.  Sebenarnya kita sahaja yang kurang sabar dalam hidup. Jika diuji kita sering mengeluh, jika diberi kita sering kalah dalam bersyukur.

Ujian itu bukanlah Allah ingin memberatkan, tetapi Allah ingin angkat mengikut kehendakNya Allah kerana Dia yang lebih tahu depan dan belakang hambaNya.

Maka bermulalah perjalanan kami ke Tanah Bonda, Bumi Malaysia.

Alhamdulillah.



In Shaa Allah, ada jalan jalan kemanisan yang sangat indah yang Allah titipkan untuk kita walau apa sahaja jalan keluarnya.

Yang penting Redha.

#musafirtarbiyahjiwa 
      Lampu bertulis kalimah "Allah" yang sangat  memukau mata yang melihat di dalam masjid. Ingin sekali kumiliki walau satu cuma. 🥰


Lampu bertulis kalimah"Muhammad" yang sangat cantik mempersona mata memandang

Landskap sekitar masjid lapangan Terbang Madinah

Deretan poko bunga menghiasi landskap masjid

      Kelihatan buah kurma bertaburan gugur

Lampu cantik di ruangan solat wanita

Bekalan nasi lemak buat alas perut

Beginilah saban tahun setiap kali mahu pulang ke bumi Malaysia, semuanya berentakan dah macam tongkang karam daaa....🤭

foto dari atas kapal terbang saat meninggalkan bumi Saudi
kepulan awan yang memukau mata, Subhanallah
sudah masuk ruang udara Sepang, Malaysia.
Yeyy...Malaysia kami pulang..🥰🥰🥰🇲🇾

Comments

Popular posts from this blog

Salam perkenalan dari Madain Salleh

Bicara Allah dalam Al Quran

Goreng pisang master chef