Penginapan kuarantin, kami bukanlah kayangan. Alhamdulillah

Sudut pandang yang paling mahal harganya sepanjang kuarantin

Segala perancangan untuk pulang ke Malaysia pada zaman pandemik ini perlu mengambil kira banyak faktor memandangkan situasi ini memberi impak yang sangat besar dalam sejarah ekonomi setiap institusi.
Posting kali ini adalah sebagai rujukan untuk anak rantau pulang ke bumi Malaysia.  Alhamdulillah pelbagai info dikumpul supaya mudah dalam membuat keputusan.  Berikut adalah  perbandingan kos dan pilihan perkhidmatan sedia ada yang boleh dijadikan rujukan dalam memilih tempat kuarantin kelak. Tidaklah lengkap, sekadar membantu sahaja.

Kos 
Quarantine ILA - 2 orang sebilik -> RM6300, kalau dapat 3 orang sebilik ->RM5600 (bilik randomly assigned)
Quarantine SP Hotel -> RM8400 (bilik mesti boleh pilih punya)
Quarantine PP Hotel -> ikut sendiri berapa mampu belanja  (bilik menurut kemahuan PUS)

Keselesaan bilik
Quarantine ILA - selesa  untuk tidur sebab tak boleh keluar ke mana pun.
Quarantine SP Hotel -> dah tentu selesa lebih sebab bayar lagi tinggi...
Quarantine PP Hotel -> memang lagi²  selesa  level kayangan.

Makanan
Quarantine ILA - serve dalam pack. sedap ja boleh makan makanan ala masakan melayu
Quarantine SP Hotel -> dah tentu lagi sedap sebab bayar lagi tinggi... serve lebih proper agaknya.
Quarantine PP Hotel -> memang lagi² la sedap level kayangan, pinggan mangkuk pun dah tentu kayangan.

View
Quarantine ILA - nampak  hijau di luar, boleh buka sliding door ambil angin.
Quarantine SP Hotel -> nampak dinding, pandangan luar ada... tapi katanya tingkap tak boleh buka.. bayar lagi tinggi, kena sedut angin dalam bilik bagi habis sesuai dengan harga...
Quarantine PP Hotel -> nampak dinding, pandangan luar ada,tapi katanya tingkap tak boleh buka. bayaq lagi tinggi, kena sedut angin lagi banyak dalam bilik bagi habis sesuai dengan harga.

Internet
Quarantine ILA - setakat ini test dapat dalam 11mbps download, upload pi sampai 48mbps (cuma ikut lokasi bilik... bilik kami tak berapa stabil), bilik anak² katanya OK...
Quarantine SP Hotel -> berdesup la kot peginya sebab bayar tinggi.
Quarantine PP Hotel -> lagi la berdesup²....😁

Ini adalah pandangan peribadi sahaja dan hasil maklum balas daripada individu yang ada pengalaman pulang ke bumi Malaysia, semoga informasi ini boleh dijadikan sebagai rujukan dalam memilih tempat kuarantin. Kalau  punya wang kocek lebih, silakan memilih sesuka keinginan dan impian hati.  Tak salah bayar lebih sekiranya mampu.

Sekadar berkongsi pengalaman yang tidak seberapa, tidak perlu lah disebut tempat kuarantin yang mana, tetapi Alhamdulillah sesuai dengan kami 6 beranak. 

 Sebelum pulang ke Malaysia perkara wajib yang telah dibuat ialah "family meeting" yg bertujuan untuk:

*memaklumkan pada anak yang bongsu tentang plan balik ke Malaysia pada esok harinya kerana sebelum ini kami telah mengambil keputusan untuk merahsiakan darinya.  Tiba masa untuk membongkar rahsia agar dia seronok dan gembira.

*memaklumkan pada anak anak tentang tempat kuarantin selama 14 hari mendatang, dititip juga pesanan supaya anak anak tidak merungut. Jadilah manusia yang praktikal dan realistik dengan keupayaan, kemampuan dan potensi. Terima seadanya dan apa adanya saja, ini adalah tentang bagaimana anak anak bijak mengendali persepsi diri terhadap sebarang perkara.
Lagi pun anak anak sudah sedia maklum kehidupan umi dan ayah ini berasal usul dan berakar umbi hanyalah dari kampung di utara Malaysia.😁

 Alhamdulillah semua akur, kerana tujuan utama pulang ke tanah air untuk mengeratkan silaturrahim bersama atok tercinta dan saudara mara, itu pun kalau diizinkan Allah.

Inilah masa untuk menggilap kreativiti dan potensi hidup berasingan tanpa umi dan ayah, kelak anak anak akan jauh lagi pergi meninggalkan kami berdua mengemudi hidup sendiri.

Semua keperluan asas tersedia ada, cuma perlu sedikit sentuhan sahaja agar nampak lebih baik dan sempurna di mata kita. Bila kita redha dengan apa yang ada maka mudah untuk kita berusaha dan Allah tidak pernah lupa memberi jalan solusinya yang penting angkat doa padaNya.

Kami sekeluarga sampai di pusat kuarantin pada waktu malam, memang seperti yang dijangka akan terpisah dengan anak anak, maka tiada rasa kecewa, sedih atau duka malah sudah bersedia dan percaya kepada anak anak untuk kali yang seterusnya dalam pengurusan diri mereka. Sempurna atau tidak, terpulang pada tuan punya diri.
Sudut pandang kedua yang juga mahal- rumah staff

Sebaik turun saja dari bas yang hanya membawa kami sekeluarga dari KLIA, 2 orang staff berpakaian PPE membantu mengurus penginapan kami, berpeluh wajah mereka seakan duduk di tepi api yang paling marak, namun masih punya semangat menulis butiran peribadi kami. Selesai proses mendaftar, mereka bersungguh membantu membawa beg kami yang agak berat muatannya. Apa lagi yang nak kita rungutkan apabila melihat dua anak muda ini bersungguh dalam bekerja.  

                  Pandangan dari sliding door

Bangun sahaja dari tidur, inilah hidangan mata yang pertama di tatap, kombinasi warna hijau segar, dan biru yang mendamaikan, berpeluanh mendengar laungan Azan versi Malaysia dari masjid yang berdekatan. Apa lagi yang nak kita rungutkan.

Malam pertama tiba, letih lesu badan semakin menggila, masing masing cuba mengendali persepsi sebaiknya agar tidak tersasar dari tujuan asal pulang. Letih usah dicerita, berjalan pun tidak terasa.
Kadang, mata terjeling jua sayap sayap serangga merata rata, namun pujuk diri agar terima bahawa ini yang terbaik untuk kita. Apa lagi yang hendak kita rungutkan. 

Lupakah engkau tentang hidup di dalam hutan Gunung Ledang, hutan Pagoh, hutan Ayer Itam, Hutan Tasek Kenyir, Hutan Taman Negara dan sebagainya selama berminggu minggu dan berbulan bulan dan pernah juga menjalani ikhtiar hidup di suatu pulau terasing di bumi Malaysia. Waktu itu hanya bau tanah dan daun kayu yang jadi wangian badan, waktu itu hanya hidupan liar yang jadi peneman. Waktu itu nyamuk besar menggigit badan. Waktu itu pacat gemok melekat rapat di kulit badan. 
Ini hanya sedikit sahaja, dulu engkau sudah terbiasa dengan jamban korek di dalam hutan. Engkau sudah menyaksikan ular  bergaduh, berdengus sesama mereka, setakat cicak melintas di depan laluan, In Shaa Allah engkau akan lupakan.
Itu engkau, bagaimana dangan anak anakmu...In Shaa Allah "alah bisa tegal biasa"
Apa lagi yang hendak dirungutkan???Terima sahaja apa yang ada depan mata, waktu ini bukan waktunya untuk mempersoalkan apa yang orang sedia untuk kita tetapi apa yang kita boleh sempurnakan untuk kelangsungan hidup selama 14 hari mendatang. Iya, badan dan jasad terkongkong, namun kau punya hati dan jiwa kurniaan Allah untuk kau sirami dengan wasilah iman.

Cukuplah seharian melayan keletihan, apa yang ada kita capai dan guna untuk membersihkan lagi tempat penginapan agar terasa seperti duduk di rumah kediaman kerana rumah asalmu pun hanya di tepi sawah, rumah taman perumahan.
Alhamdulillah segala keperluan asas ada disediakan oleh mereka.  Maka bermulalah kehidupan kuarantin seadanya selama 14 hari tanpa bersua muka dengan anak anak, hanya wasap dan video call menjadi medan berjumpa, medan melepaskan kerinduan tanpa pelukan mesra. Rindu tak terkata untuk memeluk semua permata jiwa bonda.😭😭😭
Proses menggilap perabot dari debu dan taik cicak 🤭
Cuci tandas buang sayap serangga

Proses menggilap sinki yang sedia cantik
                               Ada closets
Ubah apa yang perlu untuk kelihatan selesa 

Apa lagi yang hendak engkau rungutkan?
Semoga Allah mudahkan segalanya.  Kerana bila Allah izinkan maka ada sesuatu yang hendak diceritakan pada anak anak agar diambil ibrah dalam kehidupan.  Pandanglah dengan mata hati, usah pandang dengan mata makhluk kelak akan rugi dan tidak pernah berpuas hati.

Comments

Popular posts from this blog

Salam perkenalan dari Madain Salleh

Kisah Raya di Arab Saudi