Umrah 5 Malam Terakhir Ramadhan
Rindu yang tidak pernah pudar,
Rindu yang tiada bertepian,
Rindu hamba pada destinasi cinta Raja,
Rindu seorang musafir sepanjang jejak itu telah melunak jiwa, membuka mindanya kerana hukum Allah terzahir mengikut kehendakNya melalui alam dan perbendaharaanNya.
Alhamdulillah,
Puji dan syukur pada Allah Zat Yang Maha Mulia. Memberi nikmat dan ujian pada sesiapa yang ditakdirkanNya.
Nikmat dan ujian itu silih berganti selagi manusia mendiami dunia, kerana dunia medan manusia diuji dengan segala cabang keupayaan. Manakala akhirat medan terima segala balasan kebaikan dan keburukan hasil niat amalan ikhlas atau pun khilaf.
Sepanjang hampir 10 tahun bermastautin di bumi Anbiya, tidak pernah sekali pun berpeluang menunaikan umrah pada ramadhan yang mulia. Banyak kekangan yang perlu difikirkan. Itulah yang dinamakan rezeki. Walau kaki sudah jejak buminya namun rezeki kurang menyebelahi kami untuk bertandang menunaikan umrah pada ramadhan ramadhan yang lalu. Maklum la setiap kali bulan ramadhan harga hotel naik memuncak, hanya warga kayangan di bumi saudi yang layak. Kami????
Dengan gaji satu mata hanya mampu menanam niat senekadnya. Teringin hati untuk berumrah pada bulan mulia usah dicerita, maklum la....kalau ditambah dan dicongak gandaan pahala beramal dibulan suci ini memang lah kaya kehidupan akhirat kita.Namun akur sahaja dengan rezeki yang sedia ada.
Namun ujian covid-19 datang memberi seribu makna pada kami, mana tidaknya, harga hotel di sekitar Masjidil Haram turun selayaknya untuk kami yang sederhana sahaja. Pada saat seluruh dunia tergugat dengan si kenit virus ini, di sudut yang lain Allah gantikan sesuatu pada sebahagian kelompok manusia yang lain, contohnya tengok sahaja rezeki abang abang delivery makanan, MasyAllah berganda rezeki mereka pada zaman pandemik berbanding sebelumnya.
Alhamdulillah, ini yang dinamakan rezeki Allah, walau dalam ujian masih ada kasih sayang Allah.
Yang penting jangan putus asa berharap pada Nya yang sentiasa membuka pintu pintu rahmatNya pada kita.
Era pandemik semuanya bertukar gaya dan strategi, masing masing berhempas pulas memastikan keselamatan dan kesihatan agar terhindar dari jangkitan makhluk halus ini.
Walau ekonomi semua institusi menjadi kacau bilau namun melawan dan memerangi virus ini menjadi keutamaan.
Kerajaan Saudi juga tidak terkecuali dalam melawan virus ini, apatah lagi dengan mandat yang diberi seluruh ummah di dunia untuk menjaga 2 Masjid di dua buah kota suci. Bukan calang calang amanah yang dipikul mereka. Tambahan pula cabaran terbentang berat pada zaman pandemik ini. Semua mata seluruh dunia memerhati, meneliti keupayaan mereka dalam permaslahan ini.
Namun, Allah tidak menurunkan ujian percuma, melainkan untuk mengangkat kedudukan dan darjah dan kebesaran kita kepada yang lebih mulia, Allah tokok tambah nilai kita agar ada kualitinya.
Alhamdulillah dengan kekayaan dunia yang Allah beri pada mereka, mereka mampu mengendalikan dua buah masjid ini dengan lancar dan patuh SOP, penggunaan teknologi dan prasarana canggih yang rasanya tiada di mana mana rumah ibadah agama lain di dunia.
Cara mereka mengatur, mengawal perjalanan umrah, slot solat dan lain lain memang terbaik dan patut dipuji... Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar membuktikan merekalah selayaknya mengurus 2 masjid ini berbanding kita, membuktikan Allah lebih mengetahui tentang masa depan dan masa lalu kita. Semuanya dalam pengetahuan Allah.
Kesempatan ini kami turut berkongsi dengan saudara mara dan sahabat handai,membuka ruang pada sesiapa yang ingin kami bantu berdoa. Bukanlah bermaksud doa kami mustajab, namun Allah Ya Mujiblah yang Maha mengkabulkannya.
Peluang berbuka puasa di mataf yang paling atas Masjidil Haram(bahagian bumbungnya).
Berbumbungkan langit mendung, ditemani hujan renyai dan kilat sabung menyabung bukanlah menjadi ketakutan saat itu, malah rasa syukur atas jalan jalan kemudahan ini.
Tanpa sedar air mata berlinang tatkala mengangkat doa mengenangkan, walau diri pernah dalam lubuk dosa yang berulang namun Dia Allah tetap memberi dan sentiasa memberi... Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar.ðŸ˜ðŸ¤²
Comments
Post a Comment