Lailatul Qadar



Subhanallah
Alhamdulillah 
Allahuakbar 

Sungguh terang langit petang ini,secerah sinar harapan Allah kurnia pada kita hamba hambanya untuk yang taat maupun yang rancak bermaksiat,Allah tetap tebarkan RahmatNya kerana Rahmat Allah melebihi murkaNya Dia.

Apakah Rahmat yang semakin dekat dengan kita?

Tentulah Lailatul Qadar.Malam yang punyai nilai yang hebat dan dapat menentukan taqdir dalam kehidupan makhluk selepas ini. Allah mampu menghilangkan taqdir kita yang lama dan menggantikan dengan taqdir yang baru dengan KUN FA YA KUN.

Malam Qadar semakin menjengah, adakah Kita sudah bersedia menyambut kehadirannya?
atau masih samar samar leka dibuai nikmat dunia.
Hadirnya bak bunga mekar mewangi penyeri taman hati tapi hanya setahun sekali nikmat dari Ilahi.

Apabila ia pergi, setahun lagi akan kembali atau Kita yang dulu kembali pergi.
Semoga Kita memperoleh malam Qadar itu.
Sesungguhnya kita telah hampir dengan malam penuh rahsia Allah, malam yang lebih baik dari 1000 bulan dan malam turunnya Al Quran (Nuzul Al Quran), kalam Allah yang terpelihara sejak ianya diturunkan sehinggalah detik ini dan akan terus menerus dipelihara Sang Maha Pencipta.
Menyingkap satu taqdir aturan Allah, Tuhan kerajaan Langit dan bumi, Allah berfirman dalam kitabNya, Surah Al Qadar,

Sesungguhnya kami telah menurunkan Al Quran pada malam Qadar.
Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.
Pada malam itu turun para malaikat dan roh (Jibrail) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan.
Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.



Riwayat dari Ibnu Abbas r.a, telah menjelaskan tentang waktu penurunan Al Quran.
"Al Quran diturunkan secara keseluruhannya dari Louh Mahfuz ke Baitul Izzah(langit dunia), lalu dari langit dunia diturunkan beransur ansur kepada Rasullullah s.a.w melalui malaikat Jibrail sesuai dengan peristiwa peristiwa sepanjang tempoh 23 tahun kerasulan Nabi".

Apakah kehebatan Nuzul Al Quran?

Berlaku pada bulan penuh kemuliaan, bulan Ramadhan.
Terjadi pada malam terbaik daripada 1000 bulan Lailatul Qadar.
Turunnya dari tempat yang penuh rahsia
Louh Mahfuz.
Dibawa oleh malaikat terbaik kerajaan langit, Malaikat Jibrail
Diwahyukan kepada manusia terbaik dunia Rasullullah s.a.w.


Pada Ramadhan itu Nabi setiap malam bertadarus Al Quran bersama sama dengan Jibrail a.s.

Bilakah malam Qadar itu?

Dalam mencari Lailatul Qadar, ada banyak pendapat dan kisah sahabat sahabat Nabi terdahulu, tetapi di sini saya kongsikan riwayat yang sahih dari Ibnu 'Umar r.a, Rasullullah saw bersabda,
"Carilah malam Qadar itu pada sepuluh malam yang
akhir bulan Ramadhan, jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada tujuh malam yang masih tinggal."

Apakah persiapan kita?
Sudah tentu ibadat kita tidak akan pernah sama dengan ibadat Nabi.
Sudah tentu amalan kita tidak mencapai amalan keluarga dan sahabat nabi.
Sudah tentu kebaikan kita tidak menandingi kebaikan orang orang terdahulu.
Namun Allah sentiasa bersifat Ar Rahman Ar Rahim, turun ke langit dunia mengintai, mencari hamba hambaNya pada sepertiga malam untuk diampunkan dosa.

Maka inilah masa dan ketika kita mengatur, mengajak seluruh ahli keluarga kita sepertinya Nabi, pada 10 malam terakhir baginda mengejutkan seluruh ahli keluarga untuk bersiap sedia mencari malam Qadar.
Doa keampunan


Bagaimanakah panduan kita beramal?
Pedoman kita adalah pada Nabi,sebagai imam untuk kita ikuti.
Amalan amalan itu akan terlihat pada amalan penutupnya.
Pastikan penutupnya baik umpama bau kasturi.
Ya Allah, Engkaulah Maha Pemurah, pertemukanlah kami semua dengan LailatulQadar itu.
Semoga kita beroleh keampunan Allah, dan semoga taqdir kita yang lalu Allah ganti dengan Taqdir yang lebih baik selepas ini.
Wallahu'alam.
Semoga bermanfaat.
#musafirtarbiyahjiwa

Jazakumullah khair
Usrah Ahlul Al Quran

Comments

Popular posts from this blog

Salam perkenalan dari Madain Salleh

Kisah Raya di Arab Saudi