Kisah Raya di Arab Saudi
Subhanallah
Alhamdulillah
Allahuakbar
Tahun ini merupakan tahun kedua kami sekeluarga beraya di perantauan negara pasir berdengung Arab Saudi. Persiapan serba sederhana namun tetap meriah dalam lingkungan 6 beranak dengan cara kami.
Tiada air mata berlinangan seperti tahun pertama yang lalu. Masing masing sudah dapat menyesuaikan diri.
cuma sesekali terdengar juga luahan anak anak sedih tidak dapat beraya bersama atuk dan sanak saudara yang lain seperti yang telah dirancang sebelum ini. Semua aturan Allah, tiada upaya makhluk menyangkal segala rahsia Hikmah Allah ini.
Orang mukmin sejati tidak perlu bersedih kerana kita telah sinonim dengan kalimah "Hikmah" yang membawa maksud berupaya memahami rahsia rahsia Allah pada setiap qada' dan qadarnya.
Hakikat menyambut Aidilfitri di bumi Saudi seharusnya bahagia bak menang dalam pertarungan jiwa.
Alunan Takbir rayanya tidak sesyahdu Takbir di Malaysia yang menyentuh emosi sepi dan hiba apabila terkenangkan ayah bonda sanak saudara. Tiada lagu raya yang pilu seperti di Malaya.
Berbeza budaya beza cara sambutnya. Di Malaysia usai solat Hari Raya, semua bertandang mengunjungi sanak saudara terasa meriahnya,tetapi di sini, golongan kanak kanaklah yang lebih meriah dirai di masjid masjid. Kumpulan kanak kanak berpakaian tradisi arab yang cantik dipandang mata, manakala golongan ibu membawa kopi qahwah, bakul coklat yang dihias cantik untuk menjamu selera di dalam masjid selepas khutbah.
Tetapi tahun ini akibat penangan covid rumah menjadi masjid untuk solat hari raya, tok imam pula si ayah yang bersedia dengan teks khutbahnya. Walaupun semuanya dirumah namun ada aura istimewa pada kami makmum dan para jemaah. Terasa semuanya indah belaka apabila bersama sama.
cenderahati tanda sayang dari umi dan ayah pada pagi raya
Selesai khutbah, seisi keluarga mengambil giliran mohon keampunan bersalam salaman. Seperti yang dijanjikan ada habuan buat 4 orang Qurratun A'yun cahaya hati ayah dan umi. Sebagai tanda penghargaan dan kemenangan serta kejayaan dalam menyahut cabaran program Ihya'Ramadhan yang ayah dan umi rancang sepanjang ramadhan.
Semua dengan izin Allah, walau diawal perlaksanaan bermain emosi namun apabila Allah berkehendak maka "KUN FA YA KUN" jadilah ia. Manisnya rasa bila seisi keluarga menghidupkan ramadhan dalam jiwa. Semoga masih ada Ramadhan lagi untuk kita bersama sama menghidupkan syariat Allah kerana Ramadhan adalah sekolah tarbiyah jiwa.
💓#musafirtarbiyahjiwa
Comments
Post a Comment